top of page
VIEW 2.jpg

IMPAK PROGRAM

INSTITUT PENGAJIAN

Pelbagai implikasi diterima hasil daripada projek e-komuniti yang dijalankan. Perkara utama adalah menerapkan konsep SULAM dalam sistem pembelajaran dan pengajaran di institusi khususnya Universiti Malaysia Sabah (UMS). Walaupun pendekatan pembelajaran berasaskan perkhidmatan sudah mula diamalkan sejak beberapa tahun dahulu, namun pelaksanaannya masih belum meluas. Selain itu, di awal pelaksanaannya masih bersifat khidmat sosial seperti khidmat komuniti dan kesukarelawanan. Oleh yang demikian, pengenalan kepada konsep SULAM dilihat bertepatan dalam membantu institusi menjadikan pendekatan pembelajaran berasaskan perkhidmatan dapat diperbaiki dan kualiti pelaksanaannya dapat dipertingkatkan. Hal ini selaras dengan kehendak terkini yang memerlukan satu bentuk transformasi kepada sistem pembelajaran dan pengajaran dilakukan. Dalam mendepani cabaran dunia global yang mempunyai tahap dinamika pantas, konsep SULAM dilihat relevan, realistik dan kompeten untuk diimplementasikan. Selain itu, aktiviti libatsama dengan komuniti menerusi perkhidmatan yang diberikan akan mewujudkan hubungan yang baik di antara institusi dengan komuniti. Hal ini selaras dengan kedudukan UMS itu sendiri, iaitu sebagai universiti awam terbesar di Sabah.

PELAJAR

Antara refleksi pelajar daripada projek ini adalah, pendekatan SULAM ini telah memberi peluang kepada para pelajar untuk meneroka lebih lanjut ilmu yang dipelajari dengan cara mengaplikasikan ilmu-ilmu tersebut secara praktikal ke dalam dunia sebenar. Hal ini kerana, konsep SULAM yang dilaksanakan berkait secara langsung dengan hasil pembelajaran kursus yang dipelajari. Sebagai contoh, para pelajar dalam satu organisasi kecil telah berkerjasama untuk mencapai matlamat yang sama, iaitu menjayakan Projek SULAM. Setiap ahli dalam kumpulan yang diibaratkan sebagai satu organisasi ini mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing. Melalui projek ini, para pelajar dapat membentuk sifat tanggungjawab sosial yang tinggi kerana menerusinya projek dapat dijayakan dan disiapkan dengan cemerlang. Transformasi pendidikan menggunakan pendekatan SULAM ini turut membolehkan para pelajar mengalami sendiri cabaran serta situasi realiti dalam berorganisasi dan bagaimana berinteraksi dengan organisasi luar yang lebih kompleks, khususnya dalam konteks menjalin kerjasama dengan pelbagai agensi yang mempunyai matlamat sama membantu komuniti memerlukan. Hal ini sekaligus memberi peluang kepada para pelajar untuk membentuk jaringan sosial mereka sebelum bergraduasi. 
   Selain itu, manfaat turut dirasai oleh semua pihak yang terlibat. Misalnya komuniti Ekopelancongan yang turut serta didedahkan dengan ilmu pengurusan organisasi yang berkesan, di samping ilmu-ilmu digital bagi tujuan pemasaran produk-produk pelancongan mereka. Sementara pihak kerajaan seperti Lembaga Pelancongan Sabah dapat mengenalpasti kumpulan-kumpulan komuniti yang perlu dibantu, khasnya berkait dengan sektor Pelancongan. Begitu juga pemain industri seperti Raya Holidays yang dapat melaksanakan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka. Usaha murni dan kerjasama para pelajar dan agensi-agensi terlibat ini secara tidak langsung membantu negara mencapai beberapa malamat dalam pembangunan mapan, SDG seperti SDG 1 (Tiada Kemiskinan) SDG 15 (Kehidupan di Darat), SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 10 (Mengurangkan Ketidaksamaan) dan SDG 9 (Industri, Inovasi dan Infrastruktur). Diharapkan pada masa akan datang lebih banyak pihak akan melibatkan diri dalam projek berkonsepkan SULAM bagi kepentingan semua pihak. Ponsikou, Terima Kasih!

KOMUNITI

EKO PELANCONGAN KOWATUAN

Menurut Encik Jesmon iaitu wakil daripada Ekopelancongan Kowatuan, impak yang beliau serta peserta lain boleh dapati daripada projek SULAM yang disertai adalah salah satunya  cara untuk mempromosikan ekopelancongan mereka dengan lebih berkesan melalui penggunaan media sosial. Melalui taklimat yang disampaikan oleh penceramah dari Raya Holidays, beliau mendapatkan pendedahan bahawa kepentingan penggunaan media sosial dan cara penggunaan media sosial yang betul misalnya beliau dapat mengenalpasti bahawa cara penggunaan media sosial terbahagi kepada dua iaitu secara tradisional dan secara moden. Menurut beliau penggunaan media sosial secara moden juga boleh di lakukan tanpa batas dan boleh dikembangkan ke luar negara (peringkat antarabangsa), dalam negara dan kepada semua lapisan masyarakat dalam mempromosikan ekopelancongan komuniti di kawasan masing-masing

EKO PELANCONGAN KG. TAGAL TALUNGAN

Di samping itu, terdapat juga wakil dari salah seorang peserta lain iaitu Encik Efready (wakil daripada Ekopelancongan Kg. Tagal Talungan) yang memberi kenyataan bahawa beliau merasa sangat seronok dan gembira dengan adanya projek SULAM kerana dapat membantu meningkatkan ilmu pengetahun beliau dalam penggunaan media sosial. Melalui kenyataan daripada Encik Efready ini, kita dapat melihat bahawa projek SULAM sebenar adalah sangat membantu komuniti  dalam memberikan pendedahan kepada mereka berkaitan dengan bukan sahaja dalam pengurusan organisasi tetapi mereka juga dapat beberapa ilmu yang akan banyak membantu mereka pada masa akan datang misalnya dengan pendedahan kepentingan media sosial serta cara penggunaan yang betul kepada mereka.

EKO PELANCONGAN LIOGU KU SILOU SILOU

Program ini mendapat maklum balas yang sangat baik daripada komuniti. Salah seorang peserta iaitu Puan Roslinda wakil daripada Eko Pelancongan Liogu Ku Silou Silou. Impak yang beliau  serta peserta lain didapati daripada projek SULAM yang disertai adalah salah satunya  dapat membantu komuniti di Eko Pelancongan Liogu Ku Silou Silou dalam memasarkan produk yang ditawarkan di eko pelancongan mereka. Selain itu, program yang diadakan selama dua hari ini memberikan rasa puas hati kepada peserta yang terlibat. Hal ini kerana, peserta dapat mempelajari banyak perkara terutama bagaimana memasarkan produk pelancongan mereka dalam bentuk yang lebih cepat dan terkini. Beliau berpendapat bahawa program ini mestilah diteruskan pada masa akan datang.

RAKAN KERJASAMA

Bukan itu sahaja, program ini turut disertai oleh wakil daripada Encik Walter Kandayon (Pengerusi Kadamaian Tourism Association (KATA)) iaitu Encik Laimin. Kesudian beliau hadir dalam mengunjungi projek SULAM kami menjadi pemangkin semangat kami untuk membantu lebih banyak komuniti di luar sana melalui projek SULAM. Kedatangan wakil daripada pihak KATA sebenarnya juga menunjukkan komitmen dan sokongan mereka yang sangat besar terhadap menjalinkan kerjasama dalam mengambil perhatian terhadap pelbagai masalah yang dihadapi oleh komuniti pada masa ini. Dalam kesempatan tersebut, pihak pelajar mengambil peluang untuk membuat satu temu bual terhadap wakil pengerusi KATA tersebut. Encik Laimin menzahirkan rasa gembira dan berterima kasih diatas penganjuran program ini dengan melebar luaskan lagi khususnya kerjasama dalam membantu komuniti melalui projek SULAM ini. Menurut beliau lagi, projek SULAM sangat banyak memberikan manfaat kepada komuniti di enam ekopelancongan tersebut, khususnya bagi memperkasakan kemahiran para pengusaha pelancongan dalam pengaplikasian digital. Beliau juga berharap agar projek SULAM yang dijalankan akan memberikan impak jangka masa yang panjang dan dapat diteruskan atau dikembangkan dengan pelbagai projek lain yang dapat membantu komuniti memajukan ekopelancongan mereka masing-masing.

bottom of page